SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) secara rasmi mengumumkan gerakan Pilihan Raya Umum-16 (PRU16) bagi parti itu bermula hari ini sebagai langkah memastikan Datuk Seri Anwar Ibrahim terus kekal sebagai Perdana Menteri.
Timbalan presidennya, Rafizi Ramli berkata, ia perlu dilakukan lebih awal menggunakan kekuatan dan kemahiran yang dimiliki oleh parti itu sejak lebih 20 tahun lalu.
Menerusi kekuatan dan kemahiran yang ada, parti itu hari ini akhirnya telah diangkat oleh rakyat untuk berada di tampuk pemerintahan.
“Perkara itu tidak dilatih dengan tersusun tetapi ia berlaku secara seboleh…contohnya kemahiran kita berdemonstrasi.
“Kemahiran itu adalah kemahiran yang dibina dalam Keadilan yang kita percaya bahawa satu budaya yang akhirnya memuncak kepada siri demonstrasi bersih dalam 10 tahun lalu.
“Kemahiran itu adalah kemahiran yang dicetuskan oleh reformasi bila kita ada keupayaan dan kemahiran dan juga sistem mengendalikan demonstrasi,” katanya ketika berucap sempena Konvensyen 25 Tahun Keadilan di sini hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta pimpinan tertinggi PKR lain.
Bagi tujuan itu, Rafizi berkata, PKR memperkenalkan kerangka kerja ‘Keadilan menang siri PRU ke-16’ (KEMAS16) dan pemerkasaan organisasi parti (POP25) sebagai hala tuju persiapan akar umbi dan pimpinan PKR merangka persiapan serta menggembleng kekuatan dalam menghadapi PRU-16.
Jelasnya, kedua-dua kerangka kerja itu bertujuan untuk parti mengukuhkan kembali kekuatan dari akar umbi sehingga ke atas untuk mencipta kekuatan baru agar berada di depan dałam persiapan menghadapi PRU.
“Selepas pelancaran pada hari ini, maka keseluruhan kepimpinan daripada setiap peringkat parti akan digerakkan turun ke negeri-negeri secara berkala, diikuti ke cabang, menandakan kesediaan kita menghadapi PRU ke-16 bermula hari ini,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, dalam kedudukan parti sebagai kerajaan, sukar membawa PKR untuk dilihat terlalu defensif memandangkan sejarah parti itu yang terkenal dengan agenda reformasinya.
“Sebab itu sebagai parti reformasi, tugas kita ini berterusan dan tak akan habis. Sebab kita kena cari jalan baru yang orang lain tidak mahu buat. Supaya akhirnya walaupun tidak mahu didendang, tapi perubahan itu berlaku dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, ketika ini kekuatan yang dimiliki PKR seperti keupayaan untuk menguasai media alternatif sudah mula dikuasai oleh parti lawan.
“Kekuatan kita dalam mengupas isu juga akan ada cabaran baru sebab pimpinan kita sekarang adalah pimpinan kerajaan. Sebab kalau kita cakap, kita akan terikat dengan segala dasar, aturan pentadbiran yang kita juga kena patuh,” katanya. – MalaysiaGazette