ling tian soon
Ling Tian Soon

KUALA LUMPUR – Sayap Pemuda MCA mengambil pendirian untuk tidak menyertai kempen menjelang Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini.

Ketua Pemudanya, Ling Tian Soon berkata, pihaknya tidak akan membantu kempen PRK di Kuala Kubu Bharu sekiranya calon daripada Barisan Nasional (BN) tidak diketengahkan di kawasan tersebut.

“Hari ini Jawatankuasa Eksekutif Pemuda MCA telah membincangkan perkara ini secara lebih teliti dan kami secara sebulat suara menyokong keputusan Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA untuk tidak berkempen sekiranya BN tidak bertanding di DUN Kuala Kubu Bharu kali ini.

“Ini ketetapan yang kami ambil sejajar dengan pendirian pucuk pimpinan tertinggi parti kami peringkat Pusat dalam isu PRK DUN Kuala Kubu Bharu kali ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, kata Tian Soon lagi, sayap pemuda juga telah membincangkan isu berkaitan kebajikan awam dan akan terus fokus terhadap isu pembangunan nasional yang menjejaskan awam termasuk pencerahan jalan dan lain-lain seperti disarankan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

“Fokus utama kementerian pada tahun ini adalah dalam isu jalan yang selesa, lampu cerah, sistem perparitan yang bersih serta tandas yang bersih dan selamat.

“Sayap kami juga akan memantau secara rapat sistem penyampaian kementerian-kementerian di bawah kerajaan Perpaduan Malaysia Madani untuk memastikan mereka merealisasikan tugas dan janji mereka kepada rakyat secara berkesan dan sepenuhnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast