Geng Ayoi terlibat sembilan samun mensasarkan kedai serbaneka dan curi motosikal tersungkur di tangan polis dalam serbuan di Kuang,Hulu Selangor semalam.Ihsan IPD Hulu Selangor

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan Geng Ayoi yang giat melakukan samun mensasarkan kedai serbaneka 24 jam di kawasan sekitar daerah Hulu Selangor dan Gombak dengan penahanan tiga suspek semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, tangkapan itu dilakukan di sebuah rumah yang dipercayai diduduki geng samun itu pada jam 3 pagi.

“Hasil serbuan di Kuang itu, polis berjaya membuat tangkapan ke atas tiga suspek lelaki warga tempatan disyaki terlibat dalam kegiatan samun itu.

“Pemeriksaan lanjut di rumah suspek itu polis merampas sebuah motosikal jenama Honda RSX bernombor pendaftaran, dua unit topi keledar, sehelai baju suspek warna hitam dan sepasang kasut milik suspek,” katanya ketika dihubungi pagi tadi.

Tambah beliau, kesemua suspek yang ditahan itu adalah berusia lingkungan antara 23 tahun hingga 32 tahun.

Geng Ayoi terlibat sembilan samun mensasarkan kedai serbaneka dan curi motosikal tersungkur di tangan polis dalam serbuan di Kuang,Hulu Selangor semalam.Ihsan IPD Hulu Selangor

Menurutnya, siasatan awal mendapati kumpulan Geng Ayoi aktif menjalankan samun bermula awal tahun ini.

“Geng Ayoi ini menggunakan modus operandi dengan masuk ke dalam kedai serbaneka 24 jam dengan menggunakan sepanar dan memaksa mangsa menyerahkan barang berharga.

“Setakat ini Geng Ayoi ini terlibat dalam sembilan kes iaitu enam daripadanya samun kedai 7-Eleven, satu kes samun tepi jalan dan dua kes mencuri motosikal.

“Semakan lanjut polis mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod lampau yang membabitkan kes jenayah dan dadah manakala ujian air kencing kesemua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan dadah jenis tetrahydrocannabinol(THC),” ujarnya.

Kesemua suspek kini direman ditahan reman selama enam hari bermula 21 April hingga 26 April ini 2024 untuk siasatan lanjut di bawah seksyen 395 dan 397 kanun keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai 20 tahun dan hendaklah dikenakan sebat.

Polis percaya dengan tertangkapnya suspek ini telah berjaya menyelesaikan sembilan kes samun yang berlaku tempoh hari di daerah Hulu Selangor dan daerah Gombak.-MalaysiaGazette