Datuk Seri Anwar Ibrahim

MELAKA – Perdana Menteri mahu rakyat tidak terus leka dengan isu-isu remeh sehingga merencatkan usaha kerajaan untuk melahirkan lebih ramai golongan profesional khususnya dalam bidang digital.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dasar negara seperti transisi digital, peralihan tenaga dan pelan industri baharu perlu terus dikuasai sekali gus membantu pelabur melihat kekuatan negara.

“Maka tumpuan pada ibu bapa termasuk anak-anak Melayu mestilah di lapangan sains, matematik dan termasuk bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“(Ini) diusahakan secara gigih oleh Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk tingkatkan keupayaan mereka.

“Harus kita pusatkan perhatian supaya kita tak ketinggalan, jangan kita terus (leka) dalam hal-hal perbahasan yang remeh dan yang tidak berkesudahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri 2024 Peringkat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh malam ini.

Hadir sama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, Ahmad Zahid dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong

Perdana Menteri berkata, rakyat seharusnya melakukan perubahan sikap dan minda jika tidak mereka akan ketinggalan kerana ‘bertempur’ dengan hal-hal yang titik bengik dan bergaduh dalam hal-hal yang kecil.

“(Ini) akan meninggalkan perkara pokok dan kita akan ketinggalan bukan sahaja di kalangan kaum-kaum yang bersaing tapi di kalangan negara maju.

“Negara merlukan tenaga baru, memerlukan anak-anak yang mahir dan pakar dalam teknologi maklumat, digital kejuruteraan, dalam semi konduktur dan ini semua harus kita siapkan kerana peluang (kerja) itu terlalu banyak.

“Jadi saya harap kerajaan Melaka bersama Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan langkah diambil TPM 1 (Ahmad Zahid) itu akan menumpukan perhatian dalam bidang ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast