Saturday, May 18, 2024
Home Ekonomi KL20 2024: Malaysia sasar tarik unicorn global

KL20 2024: Malaysia sasar tarik unicorn global

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berucap pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak KL20 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto MOHD ADZLAN, 22 APRIL 2024.
KUALA LUMPUR – Malaysia komited untuk menarik masuk unicorn (pemula niaga) global ke negara ini dan menjadikan Malaysia sebagai tapak teras Asia Tenggara bagi syarikat teknologi global.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, penyertaaan kemasukan syarikat ‘unicorn’ ke dalam negara mampu mencipta pekerjaan yang berkemahiran dan bernilai tinggi serta  mampu membentuk satu saluran untuk bakal usahawan dan pemimpin kanan dalam bidang teknologi.
Unicorn merupakan terma yang merujuk syarikat pemula persendirian yang mempunyai nilai lebih AS$1 bilion.
“Sebagai balasan, kami menawarkan pakej insentif, termasuk yuran yang dikecualikan untuk pas pekerjaan pengurusan kanan, sewa bersubsidi, kadar cukai konsesi ke atas keuntungan korporat, perkhidmatan penempatan semula dan sebuah ‘startup concierge’ yang menguruskan pendaftaran untuk permulaan,” katanya.
Rafizi berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak KL20 2024 yang bermula hari ini, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
KL20 2024 dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sidang Kemuncak KL20 2024 yang dikendalikan oleh Kementerian Ekonomi dijangka merangsang semula kedudukan Malaysia sebagai hab terkemuka untuk pemula dan pemodal teroka serta mengangkat Kuala Lumpur ke dalam senarai 20 hab pemula terbaik global menjelang 2030.
Lebih 3,000 peserta terdiri daripada pelabur antarabangsa dan syarikat-syarikat pemula niaga dijangka menghadiri acara yang berlangsung selama dua hari itu. – MalaysiaGazette