Tangkap layar penjaja warga asing menjual makanan ala 'street food' dari India di sekitar Jalan Hang Tuah di ibu negara.

KUALA LUMPUR – Penjaja warga asing yang tular berniaga di Jalan Hang Tuah di sini gagal dikesan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menerusi kenyataan hari ini, pihaknya menerima maklumat awam berkaitan aktiviti perniagaan mereka yang ditularkan dengan tajuk ‘Penjaja Ala Bombay Di KL’.

Hasil semakan awal, DBKL mendapati aktiviti penjajaan itu dijalankan selepas solat Jumaat pada 19 April lalu oleh warga asing terbabit berhampiran Masjid Al-Bukhary.

Sehubungan itu, sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa DBKL telah ke lokasi bagi mengambil tindakan namun penjaja warga asing berkenaan tidak lagi berada di situ.

Berdasarkan maklumat diterima, mereka hanya menjalankan perniagaan di lokasi berkenaan pada hari Jumaat sahaja.

Sehubungan itu, DBKL akan melaksanakan pemantauan berkala di lokasi berkenaan serta mengambil tindakan lanjut jika mereka masih menjalankan aktiviti haram di situ.

Dalam masa sama, DBKL memberitahu, pihaknya akan sentiasa memantau dan mengambil tindakan segera jika ada orang awam yang melaporkan insiden yang membabitkan penjaja warga asing.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada pihak DBKL menerusi pautan laman sesawang(adu@KL) di https://adukl.dbkl.gov.my.

Sebelum ini, tular klip berdurasi 23 saat itu memaparkan jualan makanan ala  street food dari negara India yang dikerumuni warga asing.

Penularan video itu mengundang reaksi warganet yang kurang senang terhadap kelemahan sistem penguatkuasaan seakan pejam mata. – MalaysiaGazette