SEGAMAT – “Sebaik sahaja mendapat tahu berita nahas itu pukul 10 pagi tadi, saya sudah reda dan menganggap anak saya wira negara”.
Itu kata Mohamad Borak, 71, bapa kepada Pegawai Memerintah Skuadron 502 TLDM, Komander Muhamad Amir, 44, – salah seorang daripada 10 mangsa nahas dua buah helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak pagi tadi.
Menurut bekas Askar Wataniah itu, beliaua reda di sebalik kejadian menyayat hati itu kerana sudah bersedia dengan segala kemungkinan selepas anaknya itu menjadi tentera.
“Saya pun bekas Askar Wataniah dulu jadi macamana cara didikan askar itu dapatlah terima kerana minatnya juga memang untuk menjadi askar.
“Macamana kemalangan ini berlaku kita tak tahu (jangka) dan saya tidak mahu salahkan mana-mana pihak selepas ini,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Felcra Bukit Kepong di sini malam ini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, kali terakhir dia berjumpa anak kedua daripada sembilan beradik adalah pada 1 Syawal lalu di kampung halamannya di sini.
“Waktu itu, dia langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan malah ceria seperti biasa bersama adik beradiknya yang lain.
“Waktu solat sunat Aidilfitri pun dia biasa sahaja dan sempatlah kami sekeluarga luangkan masa selama kira-kira seminggu cuti raya,” katanya.
Tambahnya, jenazah Muhamad Amir yang merupakan juruterbang pesawat Fennec TLDM dijangka dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Felcra Bukit Kepong pagi esok.
Terdahulu media melaporkan, 10 mangsa terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita yang merupakan kru dua buah helikopter HOM dan Fennec TLDM disahkan terkorban dalam kejadian nahas dua pesawat di ruang udara dan terhempas di Lumut pagi tadi.
TLDM dalam satu kenyataan berkata, pesawat yang terhempas adalah Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) TLDM Fennec TLDM semasa raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut pukul 9.32 pagi tadi.
Kesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk proses pengecaman. – MalaysiaGazette