Penolong Ketua Pengarah Kastam, Norlela Ismail menunjukkan barang rampasan pada sidang media megenai kejayaan Kastam menumpaskan cubaan penyeludupan kontraban melalui penahanan kontena rentas sempadan di Kompleks Kastam Kelana Jaya, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 23 APRIL 2024.

PETALING JAYA – Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup kontraban iaitu minuman keras dan rokok putih menerusi penahanan kontena rentas sempadan di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, kedua-dua rampasan yang dibuat menerusi operasi berasingan melibatkan jumlah anggaran RM885,000 dan cukai RM708,250.

Terdahulu beliau berkata, kes melibatkan rampasan minuman keras dilakukan pada 21 Mac jam 9.15 malam.

“Hasil pemeriksaan rapi terhadap kontena di pelabuhan itu menemukan sejumlah muatan minuman keras berjenama berjumlah 4,030 liter dengan anggaran nilai RM21,000 dan membabitkan jumlah cukai dan duti RM51,600 di mana pengimportnya memerlukan lesen import dan setem cukai yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam Malaysia di bawah Peraturan 42(1), Peraturan-Peraturan Kastam 2019,” katanya pada sidang media.

Penolong Ketua Pengarah Kastam, Norlela Ismail bercakap pada sidang media megenai kejayaan Kastam menumpaskan cubaan penyeludupan kontraban melalui penahanan kontena rentas sempadan di Kompleks Kastam Kelana Jaya, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 23 APRIL 2024.

Menurutnya, minuman keras itu diseludup dengan menggunakan pengiktirafan palsu iaitu tuala pada borang Kastam 1 untuk mengaburi pihak berkuasa.

“Sindiket cuba mengelak dari dikesan dengan sengaja dengan meletakkan dagangan minuman keras di bahagian belakang kontena bersama tuala,” ujarnya.

Jelas beliau, susulan rampasan seorang wakil perkapalan telah dipanggil untuk membantu siasatan.

Sementara itu bagi kes rampasan rokok putih, Norlela memaklumkan operasi dilakukan di pelabuhan yang sama pada 2 April pukul 4.40 petang.

Ujarnya, sebanyak 864,000 batang rokok dengan anggaran nilai RM864,000 dirampas membabitkan jumlah cukai dan duti RM656,640.

“Hasil pemeriksaan ke atas kontena tersebut bersama wakil perkapalan menemukakan rokok putih disyaki tidak berkastam di mana pengimportannya memerlukan lesen dan setem cukai,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, sindiket penyeludupan secara curang mengiktirafkan rokok tersebut sebagaiĀ  lampu rumput dari negara jiran bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Dalam masa yang sama wakil perkapalan juga telah gagal mengemukakan dokumen berkaitan kelulusan pengimportan dagangan tersebut.

“Kes masih dalam siasatan bagi mengesan syarikat atau ejen pengimport yang terlibat,” tambahnya.

Kedua-dua kes disiasat di bawah Akta Kastam 1976. -MalaysiaGazette