KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) membuat 55 tangkapan melibatkan 121 kes dengan nilai rampasan hampir RM9 juta dalam Op Khas Pagar Laut 1/2024 fasa tiga yang berakhir 16 April lalu.
Pemangku Ketua Pengarah, Laksamana Madya Maritim, Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, operasi itu menumpukan semua aktiviti jenayah rentas sempadan.
“Tumpuan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludupan kontraband serta penyeludupan barang-barang kawalan di sempadan perairan seluruh negara.
“Antara yang ditahan ialah 37 kes di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Kawalan Bekalan 1961 (3 kes), Akta Imigresen 1959/63 (9 kes), Akta Kastam 1967 (3 kes), Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (7 kes), Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 (8 kes).
“Turut ditahan melibatkan satu kes, masing-masing di bawah Kanun Keseksaan, Akta Kawalan Padi Beras,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, operasi berkenaan diteruskan bagi fasa empat iaitu dari 17 April sehingga 30 April dengan mengukuhkan kawalan keselamatan di laut terutamanya di setiap titik panas (hot spots) di seluruh negara selepas sambutan Aidilfitri.
“Maritim Malaysia tidak akan ‘mengendurkan’ kesiapsiagaan operasi pada musim perayaan.
“Ia bagi mengekang dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan negara supaya keselamatan dan kesejahteraan perairan negara terus terpelihara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette