KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membantu jentera Barisan Nasional (BN) berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.
Ismail Sabri berkata, beliau menunggu perincian berhubung lokasi kempen yang dijangka dimaklumkan Ibu Pejabat UMNO.
“Katakan Pahang (diarahkan untuk) jaga kawasan (pada PRK DUN Kuala Kubu Bharu) dan mungkin untuk Bahagian di Pahang pun, (jentera BN) negeri akan turun juga,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024 Kementerian Pertahanan, di sini, hari ini.
Hadir pada majlis, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Sebelum ini, dua parti komponen BN iaitu MCA dan MIC menyatakan mereka tidak akan berkempen pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu jika calon BN tidak bertanding mewakili kerajaan Perpaduan. – MalaysiaGazette
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu ini, dan hari mengundi pada 11 Mei. -MalaysiaGazette