Suspek kes tembak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, Hafizul Harawi, 38 diiringi pasukan CID berpakaian taktikal dan senjata selepas tiba menaiki pesawat King Air B300 milik PDRM ketika di Pangkalan Pasukan Gerakan Udara PDRM Subang. Foto MOHD ADZLAN, 16 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Suspek kes tembak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) pada 14 April lalu, Hafizul Hawari akan didakwa ke Mahkamah Sesyen Sepang pagi esok.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari’at berkata, suspek warga tempatan berusia 38 tahun itu akan menghadapi dua pertuduhan.

“Esok suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Sepang pada pukul 8 pagi. Dia kemudian akan dihadapkan di mahkamah untuk menghadapi dua pertuduhan iaitu di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Azman, bagi Seksyen 307 Kanun Keseksaan – jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Manakala untuk kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan memperuntuk hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.

Pada pagi tadi di Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan, Hafizul telah menghadapi tujuh pertuduhan iaitu di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37), Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 (Akta 206) dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Dia juga dituduh di bawah Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah untuk kesemua pertuduhan.

Terdahulu suspek dilanjutkan reman enam hari sehingga 27 April ini selepas reman pertama bertempoh seminggu tamat 22 April lalu.

Suspek ditahan di Kota Bharu, Kelantan pada 25 April lalu selepas melarikan diri setelah melakukan jenayah tembak di KLIA1 pada 14 April lalu.

Dalam kejadian 1.20 pagi Ahad itu, suspek atas perihal peribadi dan dendam telah membaling bom mercun mencederakan dua awam di Balai Ketibaan Terminal 1 KLIA sebelum menghampiri isterinya yang dikawal dua pengawal peribadi dan melepaskan dua das tembakan.

Bagaimanapun wanita itu terselamat apabila salah satu das telah tersasar manakala das kedua terkena perut salah seorang pengawal peribadinya.- MalaysiaGazette