Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Kementerian Pertahanan (Kementah) akan menyediakan laporan interim berkaitan nahas udara melibatkan dua helikopter yang terhempas di Lumut, Perak dalam tempoh dua minggu dari sekarang.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dinyatakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang memberi komitmen mengenai insiden tersebut dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

“Menteri Pertahananan beri komitmen bahawa laporan interim akan disediakan dalam tempoh dua minggu manakala laporan penuh tentang kejadian akan disediakan dalam tempoh sebulan dari sekarang,” katanya pada sidang media di Kementerian Komunikasi, di sini, hari ini.

Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan nahas membabitkan dua helikopter itu berlaku ketika raptai Perbarisan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-90 di Pangkalan Kem TLDM, Lumut, Perak, semalam.

Kejadian tersebut berlaku pada jam 9.32 pagi dan mengorbankan kesemua 10 kru termasuk pegawai dan anggota TLDM dalam dua helikopter berkenaan.

Dalam pada itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, Menteri Pertahanan juga akan membuat pengumuman khas mengenai bentuk bantuan yang akan diberikan kepada waris keluarga mangsa.

“Dalam masa sama, Menteri Pertahanan akan buat beberapa pengumuman tentang beberapa bentuk bantuan yang telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri pada hari ini,” katanya. – MalaysiaGazzette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast