Anggota polis membawa suspek Hafizul Hawari, 38 atas tuduhan mengenai kejadian melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Terminal 1 Lapangan Terbang (KLIA 1) tiba di Kompleks Mahkamah Sepang, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 25 APRIL 2024.

SEPANG – Suspek yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tiba di Mahkamah Sesyen, di sini, pada jam 8.15 pagi.

Difahamkan pengurus syarikat agensi pelancongan itu akan berdepan dua pertuduhan iaitu kes cubaan membunuh dan sengaja mendatangkan kecederaan.

Tertuduh, Hafizul Hawari, 38, yang memakai baju lokap berwarna hitam dan berpelitup muka dikawal ketat anggota Bahagian Siasatan Khas (D9).

Dia kelihatan tenang ketika dibawa keluar dari kenderaan ketika gambarnya dirakam pengamal media yang berkunpul sejak jam 7.45 pagi.

Semalam, Hafizul didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan, atas tujuh pertuduhan, iaitu memiliki pistol, peluru, mercun bola, tiga MyKad milik individu berbeza dan memandu kereta jenis Honda Civic menggunakan nombor pendaftaran palsu, berdekatan sebuah hospital swasta daerah itu, pada jam 2 petang, 15 April lalu.

Dia tidak dibenarkan untuk diikat jamin bagi pertuduhan memiliki pistol, peluru dan mercun bola, namun diberi ikat jamin berjumlah RM20,000 bagi empat pertuduhan lain.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh dipindahkan ke Penjara Sungai Buloh dan menetapkan sebutan semula pada 23 Mei depan.

Pada 14 April lalu, lelaki itu bertindak nekad melepaskan tembakan ke arah isterinya, namun terkena pengawal peribadi wanita itu di Balai Ketibaan Terminal 1, KLIA, di sini.

Mangsa mengalami kecederaan di bahagian perut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Suspek terus melarikan diri sebelum diberkas pihak polis di Kota Bharu, sehari kemudian.

Berita penuh menyusul. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast