PUTRAJAYA – Perdana Menteri telah meminta Kementerian Dalam Negeri untuk terus memastikan kawalan keselamatan di sempadan negara terus kekal utuh daripada sebarang bentuk pencerobohan.

Ia untuk terus menjamin ketenteraman dan kedaulatan negara kekal terpelihara, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurutnya, itu permintaan dan aspirasi yang telah disampaikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu perjumpaan berhubung taklimat mengenai perjalanan Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) yang diadakan baru-baru ini.

Saifuddin telah berkongsi maklumat itu menerusi laman Facebook rasminya tengahari tadi.

Katanya, baru-baru ini beliau bersama dengan Ketua Setiausaha KDN , Datuk Ruji Ubi dan Ketua Pengarah Agensi Malaysia Checkpoints and Border Agency (MCBA), Datuk Seri Hazani Ghazali hadir memberi taklimat khas berhubung perjalanan dan gerak kerja yang sedang dijalankan oleh pihak MCBA.

Saifuddin ketika bersama PM Anwar dalam sesi pemberian taklimat khas perjalanan dan gerak kerja MCBA baru-baru ini.foto ihsan Facebook Rasmi Saifuddin Nasution Ismail

“Alhamdulillah, Perdana Menteri berpuas hati dengan perjalanan MCBA sekarang. Insya-Allah pada bulan Mei ini akan ada satu exchange of notes antara semua agensi yang akan terlibat sama dalam MCBA,” katanya.

Beliau juga dalam Facebook itu menyatakan PM mahu melihat pegawai dan anggota sentiasa kekal berintegriti dan bebas korupsi.

Menurutnya, Ahli Parlimen Tambun itu juga dalam sesi taklimat itu meminta supaya hasil negara terus dapat dijana dan mengelak berlakunya korupsi.

Pada masa sama, Saifuddin juga menjelaskan beliau akan ingat dan menyatakan komitmen melakanakan aspirasi Anwar selaku ketua kerajaan Perpaduan Malaysia Madani yang mahu melihat kawalan di sempadan negara utuh dan tidak berlaku ketirisan dalam aspek keselamatan.

“Saya akan ingat pesanan dan aspirasi Perdana Menteri sewaktu di akhir taklimat tempoh hari yang berbunyi, “sila pastikan kawalan di sempadan negara sentiasa utuh, elak ketirisan, jana hasil sebanyak mungkin dan bebas daripada korupsi serta pencemaran integriti dalam kalangan pegawai dan anggota,” katanya. – MalaysiaGazette