Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Terengganu menolak penguatkuasaan Akta Laut Wilayah 2012 yang menafikan hak negeri untuk menerokai sumber dan hasil melalui sempadan maritim negeri sekadar tiga batu nautika (5.5 kilometer) sahaja dari garis air surut wilayah Terengganu.

Menteri Besar,  Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan sebulat suara dicapai dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15 hari ini.

DUN Terengganu meluluskan usul menolak Akta Laut Wilayah 2012 kerana dilihat tidak menepati syarat seperti mana yang ditetapkan di dalam Perkara 2 (b) dan Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 2 (b) menyatakan bahawa undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu Negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan negeri itu (yang dinyatakan melalui undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri itu) dan Majlis Raja-Raja,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, menurut Ahmad Samsuri, Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.

Justeru, katanya, tindakan Kerajaan Persekutuan menyatakan negeri hanya berhak terhadap tiga batu nautika sebenarnya telah merampas hak kedaulatan negeri terutamanya yang berkait hasil mahsulnya.

“Kerajaan Negeri merumuskan, penggubalan akta ini adalah tidak mengikut perlembagaan dan telah memberikan beberapa implikasi negatif seperti menafikan hak negeri untuk meneroka sumber dan menikmati hasil di dalam kawasan wilayah negeri tersebut serta menyebabkan berlaku percanggahan dan konflik dengan akta-akta lain,” ujarnya.

Kerajaan negeri juga, katanya, melihat Kerajaan Persekutuan hari ini telah memperalatkan Akta Laut Wilayah 2012 untuk menafikan pembayaran royalti petroleum kepada Kerajaan Negeri Terengganu.

“Justeru, sekali lagi ditegaskan bahawa Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Terengganu menolak Akta Laut Wilayah 2012. Sekian, terima kasih,” katanya. – MalaysiaGazette