Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) yang terkesan kerana pandemik Covid-19 diteruskan selepas mendapat persetujuan Kabinet.

Bekas Timbalan Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan di Kementerian Kewangan, Datin Rosni Mohd Yusoff memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada prosiding rasuah Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan bahawa cadangan untuk meneruskan projek itu telah dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri.

Jelasnya, perkara itu juga telah diminta diminitkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ogos 2020 sebelum dipersetujui Kabinet pada November 2020.

Kata Rosni, cadangan itu juga telah dikemukakan oleh bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz pada Julai 2020 sebelum sokongan diberikan Muhyiddin serta barisan Kabinet.

Ketika disoal peguam mewakili Wan Saiful, Amer Hamzah Arshad, Rosni memberitahu, program Jana Wibawa yang diperkenalkan untuk mempercepatkan projek dan meningkatkan ekonomi negara itu boleh dilaksanakan menerusi dua kaedah.

“Ada dua cara melaksanakan program Jana Wibawa iaitu menerusi rundingan terus dan melalui tender prakelayakan.

“Pejabat Perdana Menteri akan putuskan sama ada kelulusan projek Jana Wibawa melalui rundingan terus atau tender terbuka prakelayakan,” katanya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Wan Saiful didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road dari Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada Kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang bernilai RM232 juta.

Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya, WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut.

Beliau didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana, di sini, pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku antara 8 Julai hingga 30 September 2022.

Wan Saiful turut berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta dengan memindah dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu antaranya membayar pembelian kenderaan jenis Ford Ranger, pembayaran kepada Majlis Sukan Negara Malaysia selain memindahkan wang itu ke beberapa akaun syarikat termasuk milik Sinar Karangkraf Sdn Bhd.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini antara 12 Ogos dan 13 November 2022 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Perbicaraan akan bersambung esok. – MalaysiaGazette