KUALA KUBU BAHARU – Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Radzi Jidin menasihati pengundi supaya jangan percaya dengan Fahmi Fadzil yang mempersoalkan ketiadaan para pemimpin utama Pas di Perlis pada penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.
Sebaliknya, beliau berkata, para pemimpin Pas tidak hadir kerana menghadiri Program Rumah Terbuka Pas di Perlis yang dirancang lebih awal.
“Kamu (wartawan) jangan dengar Menteri Komunikasi, Pas memang sudah rancang awal program rumah terbuka mereka di Perlis jadi sebab itu memang dirancang pelbagai mesyuarat di Perlis.
“Mereka (pemimpin Pas) bekerja keras untuk memastikan kemenangan di Kuala Kubu Baharu.
“Jangan dengar sangat kata Menteri Komunikasi, kamu (wartawan) jangan percaya dia,” katanya kepada media selepas program ceramah kelompok di dearah mengundi Bandar Utama Batang Kali malam tadi.
Radzi diminta mengulas kenyataan Fahmi yang berkata ketidakhadiran pemimpin-pemimpin Pas dilihat agak ‘menarik’ pada proses penamaan calon PRK DUN Kuala Kubu Baharu semalam.
Fahmi berkata beliau sendiri tidak pasti apa yang cuba disampaikan oleh pemimpin Pas yang tidak berada di Kuala Kubu Baharu bagi mengiringi Khairul Azhari.
Sementara itu, menurut Radzi, Pas bekerja keras untuk memenangkan calon Bersatu, Khairul Azhari Saut yang bertanding atas tiket PN.
Fahmi bagaimanapun berkata beliau sendiri tidak pasti apa yang cuba disampaikan oleh pemimpin Pas untuk tidak berada di Kuala Kubu Baharu bagi mengiringi Khairul Azhari.
Dalam pada itu, Radzi menegaskan ramai pemimpin Pas akan turun malah sudah pun memulakan siri kempen yang bermula semalam.
“Ramai yang sudah mula turun padang ke Kuala Kubu Baharu, hari ini kami sudah mulakan dan hari ini hari pemanas badan dan kita akan pastikan kita gerakan seluruh jentera kita dan pastikan kemenangan PN pada 11 Mei nanti,” katanya lagi.
Pada acara sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr. Afif Bahardin menjelaskan, Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan turun ke Kuala Kubu Baharu pada 1 Mei ini manakala Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pula pada 2 Mei untuk siri kempem PRK.
Difahamkan, Pas menganjurkan majlis sambutan rumah terbuka peringkat pusat parti itu di Dewan 2020, Kangar semalam dari 11 pagi hingga 2 petang.
Antara yang hadir adalah Presdien Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Mursyidul Am Datuk Hashim Jasin, Setiausaha Agung Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dan beberapa kepimpinan yang lain.
PRK itu menyaksikan Pang Sock Tao daripada DAP akan bersaing dengan calon Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu Khairul Azhari Saut, Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).
PRK Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian wakil rakyatnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 11 Mei manakala pengundian awal pada 7 Mei ini. – MalaysiaGazette