Erwin Teow.

KUALA LUMPUR – Kardinal Industries (M) Sdn. Bhd. Kardinal kini menawarkan penyelesaian untuk membantu perokok tegar berhenti merokok dengan pengenalan produk terbaharunya dikenali Lumina.

Pengarah Operasinya, Erwin Teow berkata, ini kerana  produk rokok elektronik itu mengandungi jumlah nikotin yang dapat dikawal apabila diambil setiap hari di mana secara perlahan dapat  mengurangkan ketagihan perokok.

Berbanding dengan rokok yang mengandungi tembakau, ia mengandungi jumlah nikotin yang tidak dapat dikawal hingga menyebabkan perokok sukar untuk menghentikan ketagihan tersebut.

“Perbezaan menggunakan rokok elektronik apabila perokok boleh mengawal jumlah nikotin yang diambil berbanding rokok.

“Justeru, visi kami untuk membantu seberapa ramai perokok untuk berhenti merokok dan rokok elektronik merupakan salah satu alternatif untuk mencapai ke arah matlamat tersebut.

“Kami kini tampil memperkenalkan produk yang membantu menurukan penggunaan nikotin harian dan berharap perokok dapat menggunakannya sehingga kosong gram nikotin,” katanya pada majlis IllumiRaya: A Kardinal Open House Pakar #KwitSmoking Kardinal di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Teow bagaimanapun mengakui  tiada tempoh waktu yang tepat diambil untuk perokok untuk berhenti merokok kerana setiap individu memiliki sikap berbeza.

Ini kerana katanya, perokok terdiri daripada golongan tegar dan sekadar bersosial namun menyasarkan tempoh tiga bulan bagi seseorang berhenti merokok dan ia memerlukan komitmen yang tinggi.

Beliau juga berharap perokok tidak mendapatkan rokok elektronik daripada pasaran gelap kerana ia berkait dengan penggunaan minyak ganja.

“Masyarakat perlu dididik mengenai isu ini dan industri perlu mendapat kerjasama daripada Kementerian Kesihatan untuk memberi kesedaran kepada pengguna terutamanya generasi muda.

“Justeru, Kardinal mahu tumpuan kepada pasaran tempatan dan kami sedang berusaha untuk menyelesaikan sebarang kebimbangan masyarakat dalam industri tembakau,” katanya.

Kardinal mula beroperasi pada 2017 dan Lumina merupakan produk kesembilan yang dikeluarkan oleh syarikat itu. – MalaysiaGazette