Tun Ahmad Fuzi merasmikan bangunan Madrasah Haji P.E.M Abdul Kader di Bayan Baru, Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Yang di-Pertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak merasmikan bangunan Madrasah Haji P.E.M Abdul Kader yang menempatkan pelajar tahfiz dalam dan luar negara di Bayan Baru di sini.

Bangunan dua tingkat yang merupakan bekas pejabat Pengerusi madrasah berkenaan, Datuk Bahurdin Abdul Kader turut menawarkan pembelajaran percuma kepada 30 pelajar setakat ini.

Madrasah Haji P.E.M Abdul Kader itu mampu menempatkan 150 orang dalam satu masa dan ia mula dibina pada 2022 dan siap sepenuhnya pada Februari lalu.

Tun Ahmad Fuzi menyempurnakan majlis dengan menzahirkan lafaz dan menandatangani plak perasmian sebelum menyampaikan pemberian duit raya kepada pelajar tahfiz dan pelatih Pusat Harian Harapan Bakti, Balik Pulau.

Hadir sama isteri Tun Ahmad Fuzi, Toh Puan Khadijah.

Turut hadir isteri Ahmad Fuzi, Toh Puan Khadijah Mohd Nor; Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera; Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor.

Terdahulu, Tun Ahmad Fuzi dan isteri meluangkan masa melawat ruangan madrasah dan pejabat Yayasan Kolsum Bivi di tingkat dua bangunan tersebut sebelum menunaikan solat Zohor secara berjemaah.

Sementara itu, Bahurdin berkata, hampir 30 tahun bangunan satu tingkat itu digunakan sebagai pejabat urusan syarikat sebelum terbiar kosong kira-kira lima tahun.

“Bila terbiar lama, timbul rasa lebih baik ia dimanfaatkan dengan cara memberi pendidikan dan kefahaman agama kepada golongan kurang berkemampuan.

“Susulan itu, saya dapatkan kebenaran untuk jadikan ia bangunan dua tingkat dengan sedikit pengubah suai sebelum ilhamkannya atas nama allahyarham bapa saya.

Bahurdin beramah mesra dengan pelajar tahfiz di Madrasah Haji P.E.M Abdul Kader.

“Madrasah itu sudah beroperasi sejak Februari lalu dan kita mengambil remaja tempatan serta tahfiz dari Indonesia, Kemboja serta Vietnam untuk meneruskan pembelajaran di sini dan masing-masing mereka merupakan anak yatim,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Bahurdin berharap inisiatifnya ini akan menjadi contoh kepada pihak lain sekali gus remaja tempatan diberikan pembelajaran percuma dalam mendalami ilmu agama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast