HULU SELANGOR – Calon Pakatan Harapan yang mewakili DAP pada pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, Pang Sock Tao menjawab pertanyaan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berhubung status pendidikannya.
Menerusi hantaran di Facebook, Pang berkata, dia terhutang budi kepada guru-guru yang pernah mengajarnya dan ucapan terima kasih tidak cukup sebagai balasan terhadap jasa yang telah dicurahkan untuk mendidiknya.
Beliau turut memuat naik gambar salinan kedua-dua keputusan sijil peperiksaan yang dipersoalkan oleh Ahmad Fadhli itu.
“Yang Berhormat Pasir Mas, Tuan Ahmad Fadhli Shaari bertanya tentang UPSR dan SPM saya…inilah jawapannya.
“Saya terhutang budi kepada guru-guru yang pernah mengajar saya. Ucapan terima kasih sahaja memang tidak cukup sebagai balasan atas jasa bakti yang telah dicurahkan dalam mendidik saya.
“Terima kasih juga kepada ibubapa saya yang tidak pernah mengabaikan pendidikan anak-anak mereka. Terima Kasih Daddy Mommy!” katanya.
Berdasarkan pemerhatian, keputusan bagi kedua-dua peperiksaan yang dicapai bekas Setiausaha Akhbar, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dilihat cemerlang dengan memperoleh semua A bagi keputusan peperiksaan UPSR.
Manakala, pencapaian sama turut duicapai oleh Pang bagi peperiksaan SPM.
Semalam, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mempersoalkan status pendidikan Pang susulan isu sama yang menjadi pertikaian mengenai calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut.
Katanya, keghairahan untuk menjatuhkan kredibiliti calon PN Khairul secara tidak matang dengan mempertikaikan status latar belakang pendidikannya bagaikan ‘senjata makan tuan.
Terdahulu, latar belakang pendidikan Azhari yang juga Pemangku Ketua Bersatu Bahagian Hulu Selangor dijadikan isu kerana poster profil calonnya mencatat memiliki diploma dan sarjana tanpa ijazah.
Khairul Azhari bagaimanapun enggan mengulas mengenai pertikaian kesahihan taraf pendidikannya selepas Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Advance mengesahkan lanjutan pengajiannya di institusi itu.
Beliau menegaskan, mahu memberi fokus sebaik mungkin kepada kempen yang sedang dilaksanakan bersama jentera PN bagi PRK yang ditandingi. – MalaysiaGazette