Mohd. Syukri Mohd. Isa, 39, Muhammad Hafizi Azmi, 34, dan V. Rakesh, 30, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan pindaan dibacakan jurubahasa mahkamah.

MELAKA – Padah melakukan samun berkumpulan terhadap pemandu teksi dinaiki – tiga sahabat dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Azaraorni Abd. Rahman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd. Syukri Mohd. Isa, 39, Muhammad Hafizi Azmi, 34, dan V. Rakesh, 30, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan pindaan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh telah melakukan samun berkumpulan terhadap warga emas Ibrahim Rashid, 72, sehingga menyebabkannya kerugian RM400 dan mencederakan mangsa dengan kerusi plastik.

Kesalahan itu dilakukan di kawasan kebun kelapa sawit Jalan Parit Keliling menghala Rim dalam daerah Jasin pada kira-kira pukul 2 petang 17 April 2024.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama.

Mengikut fakta kes, kesemua tertuduh telah menyewa sebuah teksi yang dipandu mangsa untuk ke Jasin sebelum seorang daripada tertuduh mengarahkan mangsa memberhentikan kenderaan dalam kebun kelapa sawit.

Mangsa kemudian dicekik serta dipukul sehingga tidak sedarkan diri menyebabkannya cedera pada bahagian muka, lebam mata kiri, bibir dan bengkak di bahagian kiri.

Barang-barang mangsa termasuk dompet mengandungi kad bank, kad pengenalan, lesen, wang tunai, telefon bimbit dan teksi dilarikan tertuduh.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Rashidah Baharom mencadangkan hukuman penjara dan sebat mengambil kira jumlah kerugian serta kecederaan mangsa.

Kesemua tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman rendah bermula dari tarikh ditangkap kerana menanggung anak dan ibu bapa.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bemula dari tarikh ditangkap pada 17 April 2024 dan dua sebatan terhadap kesemua tertuduh. – MalaysiaGazette