Gambar hiasan

KUALA LUMPUFR – Inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan (FLYsiswa) untuk penuntut di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disambung semula, bermula hari ini.

Ia membabitkan penuntutu universiti awam, politeknik dan kolej komuniti di bawah KPT serta penuntut kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru (IPG) di bawah KPM.

Mereka yang layak boleh membuat semakan melalui laman sesawang Kementerian Pengangkutan, https://subsidiudara.mot.gov.my/

Menurut Kementerian Pengangkutan, selepas semakan, penuntut terbabit boleh membuat permohonan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan samada daripada Malaysia Airlines (termasuk MASwings dan FireFly), AirAsia atau Batik Air melalui laman sesawang syarikat penerbangan tersebut.

Tambahnya, sekiranya seseorang penuntut didapati tidak layak, mereka boleh membuat semakan dan rayuan kepada KPT atau KPM melalui institusi pendidikan masing-masing.

“Buat masa ini, pelajar yang layak hanyalah pelajar yang masih berdaftar di universiti awam, politeknik, kolej komuniti, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru sehingga 31 Disember
2023 bagi fasa pertama.

“Manakala pelajar baru bagi sesi kemasukan 1 Januari sehingga 31 Mac 2024 akan dilaksanakan dalam fasa kedua mulai Julai 2024,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut kementerian itu, setelah menerima permohonan tersebut, syarikat penerbangan akan mengeluarkan baucar
digital bernilai RM300 kepada pelajar sebagai credit shell untuk membeli tiket penerbangan.

Katanya, sekiranya harga tiket yang dibeli adalah kurang daripada RM300, baki baucar digital akan kekal dalam credit shell dan boleh digunakan untuk pembelian tiket seterusnya.

Tempoh permohonan baucar untuk pembelian tiket penerbangan adalah dari 2 Mei 2024 hingga 30 November 2024, ujarnya.

Menurut kenyataan itu, baucar tersebut boleh ditebus untuk pembelian tiket penerbangan sehingga 31 Disember 2024.

Tambahnya, pembelian tiket penerbangan untuk perjalanan selepas tarikh akhir penebusan baucar adalah dibenarkan. – MalaysiaGazette