Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim

KUALA LUMPUR – Sebanyak 53 permit ceramah dan kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) diluluskan polis.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, daripada jumlah itu, 28 permit adalah ceramah dan 25 permit kempen diluluskan selepas penamaan calon pada 27 April lalu sehingga 10 Mei ini.

“Selain itu, sejak 27 April hingga hari ini, sebanyak tiga laporan polis telah diterima dan satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4(A) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Bagi memastikan setiap kempen dan ceramah yang dijalankan mematuhi undang-undang ditetapkan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor telah membuat pemantauan di setiap kawasan yang diadakan program tersebut,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad Faizal, setakat ini, semua kempen yang dilaksanakan oleh parti yang bertanding berada dalam keadaan harmoni, teratur dan terkawal.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan kepada semua calon yang bertanding dan kumpulan penyokong untuk menghormati serta mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan sepanjang PRK itu berlangsung.

“Mereka juga diminta elakkan daripada membuat sebarang provokasi dan perkara yang boleh menimbulkan insiden tidak diingini hingga menggugat keselamatan serta ketenteraman awam.

“Sebarang permasalahan yang timbul, mana-mana pihak boleh merujuk pada polis untuk tindakan selanjutnya berlandaskan undang-undang sedia ada,” ujarnya. – MalaysiaGazette