KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) melahirkan kebimbangan dengan perkembangan ajaran sesat Ahmadi yang memberi tafsiran menyeleweng agama Islam sebenar di negara ini.
Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, cedukan agama dan syariat yang diadun dengan kepercayaan palsu dan tersasar menjadikan masyarakat lebih mudah untuk terpengaruh.
“DUPP mengikuti dengan penuh teliti perkembangan ajaran sesat Ahmadi yang disebarkan kira-kira sejak Ramadan lalu.
“Bahkan perkembangan ajaran Ahmadi sebagai agama keamanan dan cahaya sudah begitu pesat berkembang di negara luar sehingga mendorong ramai umat Islam menuruti ajaran songsangnya.
“DUPP menggesa kerajaan supaya tegas dan proaktif melihat perkembangan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, pada zaman kepesatan media sosial kini ia memerlukan tindakan yang pantas kerana penyebaran kesesatan ini lebih cepat berkali ganda.
“Perkara ini memerlukan kepekaan di setiap negeri untuk menilai semula enakmen jenayah syariah negeri masing-masing dalam usaha mengekang penyebaran ajaran sesat.
“Penguatkuasaan undang-undang yang berkesan dan efektif amat diperlukan bagi membendung penularan ajaran songsang,” katanya.
DUPP menyeru umat Islam di seluruh negara supaya tidak termakan dengan dakyah palsu dan songsang yang dibawa ajaran berkenaan.
“Berpautlah kepada ulamak yang sebenar dalam memahami agama dan bukannya pada cerita-cerita penglipur lara direka di sebalik nama kesesatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette