Mangsa, guru kanan Pasti Jasin Bistari, Siti Sarah Mohamed Nuwawi (kanan) maut selepas cedera parah di kepala apabila motosikal ditunggang terlanggar permukaan jalan rosak (kiri) menyebabkannya hilang kawalan sebelum terjatuh di Jalan Gapam-Bemban, Jasin, Melaka semalam.

JASIN – Seorang guru maut apabila motosikal ditunggang melalui permukaan jalan rosak menyebabkannya hilang kawalan sebelum terjatuh di Jalan Gapam-Bemban di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11.20 pagi itu, mangsa, guru kanan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Jasin Bistari, Siti Sarah Mohamed Nuwawi, 32, maut empat jam kemudian ketika dirawat di Hospital Melaka selepas cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, nahas berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Sym datang dari arah Bemban menuju ke Gapam.

Siti Sarah Mohamed Nuwawi

“Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai terlanggar kawasan yang tidak rata kerana terdapat kerosakan di permukaan jalan.

“Akibatnya, motosikal mangsa terbabas menyebabkannya terjatuh dan cedera parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Hospital Melaka pada pukul 4.20 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad Jamil, tiada kamera litar tertutup di tempat kejadian dan meminta mana-mana saksi awam dapat membantu untuk tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette