Mercu tanda Kuala Kubu Bharu atau dipanggil KKB di Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 27 APRIL 2024.

KUALA LUMPUR – Penganalisis politik, Datuk Cheah See Kian berkata, walaupun DAP berada dalam situasi sukar semasa penamaan calon, tetapi keadaan parti itu sudah bertambah baik selepas seminggu.

See Kian berkata, walaupun PN berpendapat struktur pengundi Kuala Kuala Baharu menguntungkan gabungan parti itu,  beliau sebaliknya mempunyai pendapat berlainan.

See Kian menjangkakan calon PH mampu mempertahankan kawasan itu dengan majoriti antara 500 hingga 3,000 undi.

Beliau berkata, walaupun PN yakin untuk mengambil alih sokongan yang diberikan kepada UMNO sebelum ini, tetapi pelbagai isu sensitif yang berlaku sebenarnya memecah belah undi orang Melayu.

Katanya, PN juga dibelenggu oleh masalah dalaman sehingga tidak dapat menggembleng tenaga-tenaga yang ada.

“PN pada masa ini tidak dapat memadukan tenaga dan sokongan terhadap Pas juga belum cukup memadai.

“Dengan penyelarasan dalaman PN yang kurang menonjol, ia sebaliknya menampakkan pertikaian antara Bersatu dan Pas yang belum dapat diatasi.

“Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah berkempen, tetapi suasananya tidak meriah dan tidak ramai yang hadir,” katanya kepada China Press.

See Kian berkata, beliau juga tidak melihat kempen Pas yang praktikal, seakan-akan Pas tidak mahu melihat pengaruh Bersatu diperkukuhkan.

“Tanpa sokongan Pas, kemampuan Bersatu untuk memperoleh sokongan pengundi Melayu merupakan sesuatu yang mencuri perhatian,” katanya.

Ujarnya, selepas seminggu berkempen, keadaan di Kuala Kubu Baharu jelas kelihatan tidak meriah dan tidak riuh berbanding pilihan raya kecil yang lain

Beliau bagaimanapun menegaskan, walaupun Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu tidak menjejaskan kerajaan Selangor, tetapi ia tetap penting dari segi politik.

“PH mahu menggunakan pilihan raya kecil ini untuk menunjukkan sokongan dan sambutan pengundi terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya. – MalaysiaGazette