Tangkap layar daripada CCTV menunjukkan suspek menggunakan modus operandi mengacukan objek bewarna hitam yang menyerupai sepucuk pistol sebelum menyamun wang hasil jualan dari kaunter juruwang.

MELAKA – Seorang pelukis pelan Jabatan Kerja Raya (JKR), bekas polis dan anak pesara polis ditahan selepas disyaki terlibat dalam tiga kes samun menggunakan senjata menyerupai pistol Isnin dan Selasa lalu.

Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah berkata, kumpulan dikenali Geng Bacin itu diketuai pelukis pelan JKR berusia 36 tahun dan bekas polis serta anak pesara polis masing-masing berusia 33 dan 38 tahun.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan D9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Tehel dan Jasin, Selasa lalu.

“Tangkapan dibuat susulan tiga laporan kes samun berkawan menggunakan senjata menyerupai sepucuk pistol di kedai gajet, kedai beg dan kedai runcit sekitar Krubong, Telok Mas dan Tambak Paya dalam daerah Melaka Tengah pada 6 dan 7 Mei melibatkan kerugian kira-kira RM1,150.

“Semakan mendapati, kesemua suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau dan dadah termasuk saringan awal air kencing mendapati positif dadah jenis methamphetamine atau syabu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, polis turut merampas barang kes termasuk satu objek menyerupai sepucuk pistol, sebilah parang dan pisau, dua buah kereta, sebuah motosikal dan empat telefon bimbit pelbagai jenama.

“Geng ini menggunakan modus operandi sama dalam kes samun terbabit dengan mengacukan objek bewarna hitam yang menyerupai sepucuk pistol sebelum menyamun wang hasil jualan dari kaunter juruwang.

“Kesemua suspek direman bermula hari ini sehingga 15 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkawan,”katanya.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat. – MalaysiaGazette