Calon Perikatan Nasional, Khairul Azhari Saut

KUALA KUBU BAHARU – Kurang 24 jam tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu berakhir – calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut mengelak daripada bertemu media.

Beliau yang diajukan soalan mengenai kempen hari terakhir bertindak enggan melayan pertanyaan media.

No (tidak, tidak),” katanya kepada media selepas selesai solat Jumaat di Masjid Bandar Utama, Batang Kali hari ini.

Dalam pada itu, seorang pengiring Khairul Azhari berkata, calon tidak akan bercakap dengan media sehingga PRK tamat.

Ditanya atas arahan siapa, individu berkaca mata itu enggan mengulas lanjut.

“Tak boleh (temubual). Calon tak akan bercakap dengan media sampai election. Itu arahan daripadanya.

“Respectlah (hormatlah) Sebelum ini calon beri kerjasama yang baik,” kata individu yang mengiringi Khairul Azhari.

Semalam dalam ceramah perdana di Bandar Utama Batang Kali, Khairul Azhari memberi tahu media bahawa beliau diarahkan untuk ‘diam’.

Media yang ingin mendapatkan respon Khairul Azhari mengenai kempen hari terakhir ketika ceramah perdana semalam diberitahu beliau enggan memberikan sebarang komen.

“Maaf, saya sudah diarahkan untuk tidak bercakap dengan media ketika tempoh akhir berkempen,” katanya ketika program ceramah perdana di Batang Kali semalam.

Ia selepas pemangku Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dilihat cuma ‘melarikan diri’ daripada media dalam menjawab isu-isu berkait dirinya kepada media.

Malah calon anak tempatan itu sering memberikan alasan sama sebelum beredar ke lokasi kempen seterusnya, selain dilihat sering dibayangi beberapa pemimpin utama gabungan berkenaan.

Pemantauan turut mendapati Khairul Azhari tidak langsung menyentuh isu semasa dalam setiap ceramahnya selain memperkenalkan diri sebagai calon anak tempatan.

Beliau sebaliknya sering dilihat mengulangi bahan kempen sama iaitu memperkenalkan diri dalam tempoh kurang lima minit sebelum beredar meninggalkan majlis atau beramah mesra dengan pemimpin yang hadir pada program berkenaan.

Untuk rekod, seramai 39,362 pengundi akan menunaikan tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat baharu pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu (KKB) esok.

Kesemua 18 pusat mengundi yang mengandungi 74 tempat mengundi atau saluran, akan dibuka dari 8 pagi hingga 6 petang, kecuali pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Fraser yang mempunyai 40 orang pengundi, ditutup 2 petang.

Proses penjumlahan undi akan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan DUN KKB memiliki sebanyak 40,226 pengundi berdaftar dan daripada jumlah itu, 39,362 ialah pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara. – MalaysiaGazette