KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan sepasang suami isteri untuk mendapatkan penghakiman ingkar dalam saman terhadap dua pengasuh yang didakwa cuai menjaga anak mereka sehingga bayi berusia tiga bulan itu meninggal dunia akibat tersedak susu, tahun lepas.

Hakim Zawiyah Saad membenarkan permohonan Mohd Rafi Abd Razak, 26, dan Anis Amalina Mazlin, 28, selepas kedua-dua wanita berusia 58 dan 35 tahun itu gagal memasukkan kehadiran untuk menjawab saman mereka pada tarikh yang ditetapkan.

Peguam Muhammad Hariz Md Yusoff, yang mewakili pasangan suami isteri itu, memaklumkan pemberita bahawa mahkamah telah merekodkan penghakiman ingkar pada 7 Mei lepas dan membenarkan tuntutan saman yang difailkan mereka.

“Namun tarikh baharu untuk penetapan kos masih belum ditetapkan oleh mahkamah,” katanya pada sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, anak guamnya telah memfailkan saman mengikut prosedur dan teratur namun kedua-dua defendan yang merupakan anak beranak itu lewat untuk memasukkan kehadiran bagi menjawab saman.

“Difahamkan defendan juga telah melantik peguam selepas penghakiman ingkar direkodkan oleh mahkamah,” katanya yang dibantu peguam Nur Fatin Syakinah Kamarudin dan Noor Syazwani Mohamad Yusri.

Menerusi saman yang difailkan pada 9 April lepas, pada hari kejadian (15 Jun 2023) Mohd Rafi telah menghantar anaknya ke rumah defendan sekitar 6.48 pagi namun pada 11.40 pagi, beliau menerima panggilan daripada pengasuh yang memaklumkan anaknya dalam keadaan lemah dan tidak bernafas serta menggesanya untuk pulang segera.

Mohd Rafi berkata, beliau meminta pengasuh menghubungi ambulans dengan kadar segera bagi mendapatkan bantuan perubatan dan dimaklumkan kemudian bahawa anaknya telah dibawa oleh ambulans ke hospital namun tidak mengetahui hospital mana menyebabkan beliau bergegas ke Hospital Putrajaya.

Beliau mendakwa defendan tidak menemani dan telah membiarkan anaknya berseorangan di dalam ambulans serta tidak mengambil peduli keberadaan atau hala tuju ambulans yang menunjukkan bahawa defendan tidak peduli keadaan anaknya ketika itu.

“Pihak Hospital Putrajaya kemudian mengesahkan anaknya sudah tidak bernafas meskipun bantuan kecemasan telah diberikan dan mengesahkan bahawa bayi itu meninggal dunia pada 12.17 tengah hari pada hari yang sama.

“Saya dimaklumkan bahawa keadaan perut anak saya dipenuhi dengan susu apabila terdapat banyak susu yang keluar melalui mulut dan hidungnya ketika bantuan kecemasan diberikan,” katanya dalam pernyataan tuntutan.

Mohd Rafi mendakwa kematian bayinya adalah disebabkan pengabaian dan kecuaian defendan yang memberi susu secara berlebihan tanpa pemantauan serta perhatian yang penuh dan rapi.

Oleh itu, beliau menuntut ganti rugi lebih RM100,000 daripada kedua-dua defendan antaranya ganti rugi kesedihan, ganti rugi khas dan faedah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – Bernama