ALOR GAJAH – Tiga pelajar sekolah patah tangan dan kaki selepas motosikal dinaiki merempuh sebuah lori di Taman Melor, Kuala Sungai Baru di sini, awal malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 malam itu, penunggang, Muhammad Farish Haiqal Muhamad Zailani, 14, patah tangan, manakala dua pembonceng termasuk adiknya, Muhammad Firash Danial, 10, serta rakan mereka Mohamad Amirulazry Abdul Hafiz, 13 mengalami luka, patah tangan dan kaki.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika motosikal Yamaha 135LC itu melanggar tayar belakang sebelah kanan lori yang sedang keluar membelok ke kanan dari simpang Taman Melor.
“Pada masa sama, datang motosikal dinaiki ketiga-tiga pelajar itu dari arah Kuala Sungai Baru dipercayai menuju ke rumah rakan telah melanggar bahagian tayar belakang sebelah kanan lori.
“Rempuhan mengakibatkan mangsa mengalami luka, patah tangan dan kaki sebelum dikejarkan ke ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambah Ashari, semakan juga mendapati motosikal yang digunakan telah tamat insurans dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) sejak Mac 2023 selain penunggang tidak mempunyai lesen memandu.
“Terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan kenderaan terlibat telah ditahan untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom),” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette