Nancy Shukri berucap pada Majlis Pembangunan Pelan Tindakan Industri Penjagaan di Malaysia

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan seramai 385 penjaga yang berkemahiran khusus kepada kanak-kanak, warga emas dan golongan berkeperluan khas pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pengwujudan penjaga berkemahiran itu akan dilakukan menerusi program Pelan Tindakan Industri Penjagaan Di Malaysia.

“Sejak 2018 lagi, program ini sudah bermula dan sehingga hari ini kita mempunyai seramai 655 penjaga terlatih namun tidak diuwar-uwarkan kepada umum.

“Kita juga ada Institut Sosial Malaysia (ISM) untuk mengajar pelatih kita bagi meningkatkan kemahiran dan akademik mereka sehingga memperoleh diploma. Pelatih ini perlu menduduki modul dibawah universiti.

“Ketika ini terdapat penjaga di rumah dan swata bagi kanak-kanak, orang tua dan golongan orang kurang upaya (OKU) namun dikalangan mereka masih ramai tidak cukup terlatih” katanya selepas Majlis Pembangunan Pelan Tindakan Industri Penjagaan di Malaysia di sini, hari ini.

Tiga objektif program itu adalah untuk mengenal pasti isu dan cabaran dalam pelaksanaan industri penjagaan di Malaysia, mendapatkan sumbang saran daripada pemegang taruh dan pemain industri serta membangunkan kerangka awal Pelan Tindakan Industri Penjagaan di Malaysia.

Terdahulu dalam ucapannya, Nancy berkata, KPWKM mahu memfokuskan untuk menjadikan penjagaan warga emas sebagai kerjaya profesional.

“Kementerian menyedari bahawa usaha memartabatkan industri penjagaan di Malaysia memerlukan sokongan pelbagai pihak.

“Justeru kita mengalu-alukan kerjasama strategik semua kementerian, jabatan, agensi, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengenal pasti keperluan penjagaan di pelbagai peringkat.

“Ia melibatkan dalam merangka polisi dan strategi yang komprehensif bersesuaian dengan kehendak pasaran serta keperluan penjagaan di masa hadapan,” ujarnya.

Tambah beliau, bagui menjayakan rancangan itu, kementeriannya menaja kos penganjuran siri-siri makmal, menyediakan kepakaran teknikal menerusi syarikat perunding yang akan dikenalpasti oleh Asia Foundation Malaysia (TAF) menerusi kerjasama yang dilakukan.

Jelas beliau, kerjasama diadakan bersama KPWKM itu bagi membangunkan Pelan Tindakan Industri Penjagaan Malaysia yang dijangka siap pada penghujung Julai ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast