Prof. Madya Dr. Nurulwahida Azid @ Aziz (tengah) bersama para pelajarnya

PERLIS – Projek MathSprint Odyssey dari Universiti Utara Malaysia (UUM) bukan sahaja berjaya memenangi pingat emas tetapi juga Anugerah Teknologi Kreatif pada International Engineering Invention & Innovation Exhibition 2024 (Pi-ENVEX), Perlis baru-baru ini.

Pelajar Sarjana Muda Pendidikan (Pengurusan Perniagaan), Nurul Aini Fitriah Nasip Supiadi berkata, projek ini telah dicipta khas untuk mereka yang tidak mahir dalam penolakan dan penambahan nombor.

“Aplikasi ini juga mengandungi objektif yang jelas, pembelajaran interaktif serta pentaksiran yang boleh menilai pencapaian pelajar bagi setiap peringkat pembelajaran.

“Bukan itu sahaja, guru juga boleh memantau perkembangan pelajar melalui rekod pencapaian pelajar yang disimpan dalam aplikasi serta memudahkan komunikasi antara pelajar dan guru sekiranya terdapat sebarang soalan berkaitan pelajaran.

“Penyertaan ini juga bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar universiti mempertengahkan idea serta mengembangkan kemahiran berfikir kreatif, kritis dan kemahiran penyelesaian masalah pelajar semasa pembentangan MathSprint Odyssey di atas pentas,” katanya.

Manakala seorang lagi mahasiswa, Nurdiana Nudin berkata, projek yang telah didaftarkan hak cipta di bawah MyIPO ini telah dibentuk melalui kursus Kurikulum Sekolah: Teori dan Praktis.

“Projek yang dipertandingkan merupakan salah satu aktiviti pembangunan pelajar bagi Persatuan Pengurusan Pendidikan (PENDIDIK).

“Ini juga merupakan pengalaman yang sangat menyeronokkan kerana peserta dapat melihat pelbagai inovasi oleh peserta daripada 11 buah negara yang boleh dijadikan aspirasi untuk mencipta lebih banyak alat pembelajaran interaktif pada masa akan datang,” tambahnya.

Kejayaan yang dikecapi UUM ini membuktikan kemampuan dan kecemerlangan mereka sebagai sebuah universiti selain meningkatkan lagi keyakinan diri mahasiswa untuk mencipta sesuatu yang akan membawa manfaat kepada orang lain. – MalaysiaGazette