Kompleks Mahkamah Melaka

MELAKA – Seorang warga Rusia mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan memandu kenderaan tanpa perlindungan insurans dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh pada Februari lalu.

Tertuduh, Aleksei Dorokhov, 23, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh sebagai pemandu kereta bernombor pendaftaran ADV6983 telah menggunakan kenderaan tersebut atas jalan raya dengan LKM yang telah tamat tempoh berkuatkuasa 30 Januari 2024.

Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM2,000 mengikut Seksyen 23(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tertuduh turut berdepan pertuduhan menggunakan kenderaan sama di atas jalan raya dengan tanpa berkuatkuasa satu polisi insurans bagi pihak ketiga.

Sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan sehingga tiga bulan atau kedua-duanya dan hendaklah dihilangkan kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Jalan Saujana Height daerah Melaka Tengah pada kira-kira pukul 6.57 petang 14 Februari lalu.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wan Kamaruddin Wan Mustaffa.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya dalam bahasa Melayu memohon hukuman ringan dengan alasan hadir ke Melaka untuk membantu kerajaan negeri dengan terlibat sebagai pelakon watak askar British.

Watak itu dibawa dalam persembahan teater sempena sambutan Hari Memperingati Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 20 Februari lalu.

Mahkamah kemudian menetapkan denda RM50 atau sehari penjara jika gagal bayar bagi setiap pertuduhan dan tertuduh membayar denda tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast