Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bercakap pada media ketika di Kompleks Kementerian Komunikasi, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 15 MEI 2024.

PUTRAJAYA – Mesyuarat Kabinet yang diadakan hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada Iran selepas kematian presidennya, Ebrahim Raisi dan menteri luarnya dalam nahas helikopter baru-baru ini.

Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, ucapan itu dirakamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat.

“Perdana Menteri  telah merakamkan ucapan takziah dan ini adalah satu memang kemalangan yang cukup menyedihkan.

“Perdana Menteri menyatakan dalam dua pertemuan yang telah diadakan bersama Presiden Iran jelas hubungan yang baik antara kedua-dua negara bertambah erat,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Sebelum ini, Anwar berkata, Malaysia bersolidariti dengan negara itu atas tragedi menimpa Ebrahim dan Menteri Luarnya, Hossein Amir-Abdollahian yang terkorban dalam nahas helikopter.

Malah menurut Anwar, Malaysia turut terkesan dan sedih apabila menerima laporan nahas helikopter di wilayah utara Iran yang dinaiki pemimpin berkenaan.

Terdahulu, media luar negara melaporkan Presiden Iran disahkan meninggal dunia selepas helikopter dinaikinya terhempas di sebuah kawasan pergunungan di Iran.

Menurut agensi berita Iran, IRINN dan Mehr News, tiada mangsa yang terselamat ditemui di lokasi nahas helikopter itu. – MalaysiaGazette