Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman yang muncul dua syarikat tempatan terawal yang terpilih melabur di Wuxi anjuran DPPPM-WC.

KUALA LUMPUR – Dewan Perniagaan, Perindustrian Dan Pelaburan Malaysia – Wuxi, China (DPPPM-WC) mempelawa syarikat tempatan menerokai peluang pasaran di China khususnya di wilayah Wuxi.

Ahli jawatankuasanya, Datuk Seri Sharizal Sarip berkata, ini kerana Wuxi Federation Industry Of Commerce telah menawarkan permintaan sebanyak 2,000 tan produk makanan dan minuman (F&B) sebulan untuk dieksport ke negara itu bagi keperluan lebih dua bilion pengguna di sana.

Menurut beliau, ketika ini, DPPPM-WC telah menerima lebih 500 permohonan daripada syarikat F&B tempatan untuk menyertai pameran My Warehouse@Wuxu, China pada Ogos depan.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 200 syarikat telah disenarai pendek untuk dipilih menyertai pameran itu nanti selepas melepasi kriteria ketat yang ditetapkan.

“Ini adalah masa bersesuaian untuk membawa lebih ramai syarikat tempatan ke China khususnya Wuxi untuk meneroka peluang di sana selepas bandar itu kini dikenali sebagai salah satu destinasi perindustrian moden di China untuk menjadi Lembah Silikon Chiplet atau Chiplet Valley.

“Wuxi yang terletak di Selatan Wilayah Jiangsu turut menawarkan sistem pengangkutan yang efisuen di mana perjalanan dari bandar Shanghai hanya mengambil masa selama sejam untuk ke bandar tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada menandatangani Memorandum Persefahaman yang muncul dua syarikat tempatan terawal yang terpilih melabur di Wuxi.

Barisan kepimpinan Dewan Perniagaan, Perindustrian Dan Pelaburan Malaysia – Wuxi, China.

DPPPM-WC telah ditubuhkan sejak bulan Oktober 2023 selepas pengerusinya, Dr. Mazlan Goh Ahmad Goh dilantik sebagai duta pertukaran persahabatan antara Wuxi dan Malaysia oleh kerajaan Perbandaran Wuxi pada bulan Jun tahun sama.

Dewan itu kini komited memberi jaminan akan terus memberi tumpuan terhadap usaha menjadi penghubung di antara dewan perniagaan tersebut dan juga kerajaan serta agensi Kerajaan dengan Wuxi Federation Industry Of Commerce, China.

Sehingga kini, DPPPM-WC memiliki lebih daripada 40 ahli serta behubung baik dengan pemimpin dwi-teras dari Malaysia dan Wuxi, China.

Mengulas lanjut, Sharizal memberitahu  antara visi dewan tersebut adalah  untuk mewujudkan platform yang bersepadu, saling menguntungkan untuk integriti perniagaan, komunikasi dan pertukaran antara kedua negara.

Namun, katanya, syarikat tempatan F&B perlu berani menyahut cabaran kerana kriteria keselamatan makanan di China amat ketat dan perlu dipatuhi seperti mengeksport produk negara Eropah.

“Malah syarikat tempatan yang terpilih juga mesti bersedia dengan tempahan permintaan yang tinggi ke China setiap bulan. – MalaysiaGazette