Foto IG Manchester United.

LONDON – Manchester United mengejutkan pasukan pilihan Manchester City 2-1 untuk menjulang Piala FA buat kali pertama sejak 2016 di Stadium Wembley, malam tad,

Kemenangan ke atas juara Liga Perdana Inggeris itu membolehkan Red Devils melalui momen terindah untuk menyelamatkan musim buruk mereka apabila selepas sekadar menamatkan kempen liga di tangga kelapan – kedudukan terburuk sejak 1990.

Lebih manis, skuad kendalian Erik Ten Hag turut menempah tiket ke Liga Europa musim depan secara automatik menyingkirkan Chelsea di kedudukan keenam liga.

Pada masa sama, United juga berjaya menghalang musuh tetangga itu daripada melakar sejarah menjadi pasukan pertama memenangi liga dan Piala FA dua musim berturut-turut.

Ketika ini kedudukan Ten Hag berdepan spekulasi akan dipecat manakala pemain dihujani kritikan susulan prestasi buruk musim ini selain ramai akan disingkir untuk musim depan.

Foto IG Manchester United.

Namun barisan Red Devils turun dengan aksi bertahan yang penuh disipiln untuk menebus kekecewaan tewas pada aksi final sama musim lalu.

Malah, mereka mengejutkan City apabila mendahului pada minit ke-30 menerusi Alejandro Garnacho yang memanfaatkan kesilapan pertahanan, Josko Gvardiol dan penjaga gol, Stefan Ortega.

Sembilan minit kemudian, gawang City bolos lagi apabila pemain muda, Kobbie Mainoo menjaringkan gol kedua dengan gerakan menarik untuk mengukuhkan kedudukan United.

Pemain gantian, Jeremy Doku merapatkan jurang buat City pada minit ke-87 dengan rembatan dari luar kotak penalti namun jaringan itu bagaimanapun sudah terlewat untuk anak buah Pep Guardiola mengheret aksi ke masa tambahan sekali gus membolehkan United tidak menamatkan musim ini dengan tangan kosong. – Agensi