Foto FB Putrajaya Athletic F.C.

KUALA LUMPUR – Liga A1 Semi Pro, Putrajaya Athletic FC kini dikenali sebagai PT Athletic FC menjelang aksi liga bermula bulan depan.

Menurut pengurusan PT Athletic FC, pertukaran nama itu berkuatkuasa serta merta.

Tambahnya lagi, pasukan itu merupakan sebuah kelab profesional yang berdaftar di bawah Amateur Football League (AFL) serta bebas daripada mana-mana persatuan bola sepak.

“PT Athletic FC beroperasi sebagai organisasi dan kelab bebas kewangan tanpa dibiayai atau dikawal oleh mana-mana persatuan atau agensi kerajaan.

“Bagi mengelak sebarang kekeliruan, PT Athletic FC dengan ini tiada kena mengena atau terikat dengan Persatuan Bolasepak Putrajaya (Putrajaya FA) dan Perbadanan Putrajaya (PPj),” menurut pihak pengurusan kelab itu menerusi siaran media.

PT Athletic merupakan sebuah pasukan baharu yang ditubuh pada awal tahun ini untuk mewakili bola sepak Putrajaya dalam saingan Liga Malaysia dan akan dibimbing oleh Nazrulerwan Makmor.

Kelab itu telah merekrut ramai pemain veteran dan mempunyai pengalaman luas dalam Liga Malaysia seperti Indra Putra Mahayuddin, Amri Yahyah, Hafiz Ramdan dan Fandi Othman. – MalaysiaGazette