Warga Palestin berkumpul dan melihat tapak serangan Israel ke atas kawasan kem yang menempatkan orang pelarian di Rafah pada 27 MEI 2024. Foto AFP

HAMILTON – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) , Antonio Guterres mengutuk serangan udara maut Israel ke atas kem pelarian yang kehilangan tempat tinggal di bandar Rafah yang terletak di selatan Semenanjung Gaza.

“Saya mengutuk tindakan Israel yang membunuh ramai orang awam yang tidak bersalah yang hanya mencari perlindungan daripada konflik maut ini” tulis Guterres di X.

Pemimpin PBB itu menekankan, sekarang “tiada tempat selamat di Gaza” dan menggesa penamatan kengerian yang berlaku di Rafah,

Sekurang-kurangnya 45 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, terbunuh dan hampir 250 yang lain cedera dalam serangan Israel ke atas sebuah kem di Rafah pada hari Ahad.

Serangan itu berlaku berhampiran pangkalan logistik agensi PBB untuk pelarian Palestin (UNRWA) di Tal al-Sultan, kata Pejabat Media Kerajaan yang berpangkalan di Gaza.

Israel telah membunuh lebih 36,000 rakyat Palestin di Semenanjung Gaza sejak serangan rentas sempadan oleh Hamas pada 7 Oktober tahun lalu.

Kempen ketenteraan telah mengubah sebahagian besar kawasan yang dihuni 2.3 juta orang pelarian menjadi runtuhan, menyebabkan kebanyakan orang awam kehilangan tempat tinggal dan berisiko mengalami kebuluran.

Serangan itu berlaku walaupun keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang mengarahkan Israel menghentikan serangannya di Rafah, di mana lebih sejuta rakyat Palestin telah mencari perlindungan daripada perang sebelum ia diceroboh pada 6 Mei 2024. – Agensi

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast