Warga Palestin berkumpul dan melihat tapak serangan Israel ke atas kawasan kem yang menempatkan orang pelarian di Rafah pada 27 MEI 2024. Foto AFP

HAMILTON – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersaatu (PBB) mesti melangkaui perbincangan dan mengambil tindakan untuk menamatkan perang di Semenanjung Gaza, kata utusan Perancis ke PBB.

“Majlis Keselamatan tidak boleh bercakap sahaja, Majlis Keselamatan perlu bertindak,” kata Nicolas de Riviere kepada pemberita di New York menjelang sesi kecemasan tertutup di majlis itu.

Menekankan keperluan segera gencatan senjata di Gaza dan pembebasan tebusan, de Riviere berkata, Perancis mengecam serangan udara Ahad ke atas sebuah kem untuk pelarian di Rafah yang mengorbankan sekurang-kurangnya 45 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Beliau berkata, operasi Israel mesti ditamatkan mengikut keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Mengambil maklum komitmen Perancis untuk membina sebuah negara untuk rakyat Palestin, de Riviere berkata, “Sudah tiba masanya untuk Majlis ini mengambil tindakan dan menerima pakai resolusi baharu.”

Beliau juga menggariskan bahawa majlis itu mesti menunaikan kewajipannya. – Agensi