KUALA LUMPUR – Seorang wanita menjadi tumpuan netizen apabila empat daripada anaknya menerima keputusan yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ia selepas sepotong video TikTok yang menampilkan sepasang kembar iaitu Khairul Eizlan Nazri dan Khairul Ezzriq, 18, memberi reaksi gembira dan teruja selepas mendapat 9A dalam SPM 2023 yang tular di media sosial.
Video tersebut dirakam oleh kakak sulung pasangan kembar itu, Azreen Izzati, 26, yang turut meraih 9A bersama seorang lagi adik perempuannya sebelum ini.
Azreen berkata, ibunya, Nila Kandi Juita Idris, 51, sangat menekankan pelajaran namun tidak memaksa sehingga menyebabkan anak-anak enggan belajar.
“Garang itu subjektif tapi boleh saya katakan yang garangnya bertempat. Alhamdulillah, beliau tidak pernah paksa kami soal pelajaran.
“Ibu juga selalu beri ruang dan peluang kepada saya dengan adik-beradik lain untuk pilih serta buat keputusan sendiri,” katanya.
Azreen menambah, ibunya gemar berkongsi maklumat atau kaedah pembelajaran untuk dipelajari kerana mengetahui mereka tidak gemar mata pelajaran Matematik.
Jelasnya, dia dan adik-beradik lain sering memohon doa serta restu daripada ibunya kerana itu merupakan salah satu kejayaan setiap anak-anak.
“Saya banyak minta ibu untuk doakan kami adik-beradik kerana itu kunci kejayaan setiap anak dan mampu menjamin keselamatan kita, insya-Allah,” ujarnya.
Mengenai persiapan peperiksaan adik kembarnya pula, Azreen Izzati memberitahu yang mereka berdua bergiat aktif dalam pembelajaran terutama banyak menyertai pertandingan dan aktiviti kokurikulum.
“Saya nampak mereka juga rajin mengajar kawan-kawan seperti buat perbincangan dalam kumpulan kerana saya percaya yang ilmu dikongsi juga dapat membantu diri sendiri.
“Saya yakin yang mereka fokus di dalam kelas sepenuhnya kerana di rumah mereka lebih kepada pembelajaran santai dan banyak berehat,” jelasnya.
Melanjutkan bicara, Azreen memberitahu yang keluarganya mempunyai perasaan bimbang semasa ingin mengambil keputusan SPM adik lelaki kembar itu kerana khuatir sekiranya ada perbezaan markah yang jauh.
“Kami memang berharap sangat yang mereka berdua akan dapat keputusan yang cemerlang dan bukan satu pihak sahaja yang gembira.
“Alhamdulillah, kami bersyukur yang kedua-duanya dapat keputusan cemerlang,” katanya lagi memetik laporan Sinar Online di sini hari ini. – MalaysiaGazette