Syafik Ismail. Foto MFL.

KUALA LUMPUR – Pemain sayap muda Terengganu FC, Muhammad Syafik Ismail mengakui tidak mudah untuk melawan perasaan trauma apabila beraksi di atas padang pada musim ini selepas mengalami kecederaan ACL (Anterior Cruciate Ligament) yang dialaminya tahun lalu.

Pemain yang berusia 24 tahun ini disahkan mengalami kecederaan ACL tahap tiga pada Mei tahun lalu dalam perlawanan Piala FA menentang Kelantan FC.

Jelasnya, tidak mudah untuk beliau mengharungi episod hitam tersebut lebih-lebih lagi apabila terpaksa melupakan kesemua aksi Liga Malaysia musim lalu dan memerlukan lapan bulan untuk melalui proses pemulihan dari kecederaan tersebut.

Syafik yang tersenarai sebagai pemain gantian dalam tiga aksi awal Liga Super pada musim ini, teruja dapat kembali beraksi bersama pasukan sambil mendapatkan semula keyakinannya di atas padang.

Tambah Syafik, setiap kali Ketua Jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner, memberi peluang kepadanya untuk beraksi musim ini, dia harus berdepan dengan trauma tersebut dan berani untuk bermain bola sepak seperti biasa.

“Secara jujurnya, trauma tersebut saya rasai sehingga kini namun saya harus berdepan dan kembali bermain untuk karier saya” katanya kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Anak jati kelahiran Marang ini turut berkongsi tempoh pemulihan selama lapan bulan yang dia perlukan untuk sembuh dari kecederaan ini adalah satu momen yang sangat mencabar bagi dirinya.

Syafik menambah, selain bergelut dengan kecederaan yang menimpanya pada ketika itu, dia juga bertarung dengan kerisauan perjalanan karier bola sepaknya kerana kecederaan ACL ini memerlukan masa untuk pulih.

“Sepanjang lapan bulan itu, pelbagai rawatan yang saya terima termasuk pembedahan dan fisioterapi.”

“Namun, saya berjaya bangkit dengan sokongan ibu, isteri, keluarga mentua dan rakan-rakan yang banyak memberi sokongan kepada saya untuk melalui hari sukar ini,” tambah Syafik.

Syafik dalam temubual juga menyatakan penghargaan kepada Terengganu FC yang banyak membantu mengembalikan prestasinya sehingga dia dapat kembali beraksi pada musim ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast