Para peserta Bubble Camp 2024 mengibarkan Jalur Gemilang, bendera Palestin dan lukisan kain yang mereka hasilkan di tepi pantai Kampung Genting, Pulau Tioman.

PULAU TIOMAN – Siri ke-10 program Bubble Camp yang menjadi acara tahunan untuk para pelajar ketika musim cuti persekolahan di Kampung Genting di sini kali ini menampilkan kelainan.

Program kali ini lebih kepada memberi kesedaran kepada para pelajar mengenai isu-isu berkaitan dengan Palestin.

Pada masa sama, program melibatkan 40 pelajar sekolah rendah dan menengah itu juga mengajar mereka cara membaca doa Qunut Nazilah secara betul sebagai usaha membantu membebaskan rakyat Palestin dari pelbagai bencana.

PESERTA Bubble Camp 2024 ketika mengunjungi muzium Taman Laut, Pulau Tioman.

Pengarah Program Bubble Camp 2024, Syed Rizalman Syed Abu Bakar memberitahu, tema program kali ini ialah ‘Bebaskan Palestin’.

Menurutnya, para pelajar begitu teruja untuk bersama-sama dengan semua masyarakat Malaysia dalam mempertahankan dan membantu rakyat Palestin yang kini sedang berhadapan dengan pelbagai masalah.

“Para pelajar diberi penjelasan mengenai sejarah dan nasib yang kini menimpa rakyat Palestin.

“Mereka begitu faham. Antara cara membantu rakyat Palestin ialah mendoakan kesejahteraan mereka termasuk melalui doa Qunut Nazilah,” katanya.

Program Bubble Camp 2024 yang turut disertai dalam kalangan ibu bapa para pelajar itu mendapat kerjasama daripada Lembaga Pembangunan Tioman (TDA) dan kumpulan muzik, Wings.

Pada program berkenaan, para pelajar juga dilatih menyediakan sketsa ringkas mengenai kehidupan dan nasib rakyat Palestin.

“Mereka juga diminta melukis Jalur Gemilang dan bendera Palestin,” kata Syed Rizalman.

Di samping itu, program kali ini juga memberi pendedahan kepada penanaman batu karang di laut sebagai usaha untuk membiakkan lagi terumbu karang.

“Para pelajar turut dibawa melawat muzium Taman Laut dan diberi penerangan mengenai kehidupan laut yang ada di sekitar mereka,” katanya.

Menjawab pertanyaan, Syed Rizalman berkata, ia turut diselitkan dalam program berkenaan ialah cara pemakaian jaket keselamatan ketika aktiviti air.

“Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa cara pemakaian jaket keselamatan yang betul dapat menyelematkan seseorang termasuk ketika snorkeling,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast