Abdul Fattah Abdullah

MELAKA – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANngkasa) menyasarkan semua 600 koperasi kredit di bawahnya mempunyai Sijil Pematuhan Syariah menjelang tahun hadapan.

Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, sasaran itu penting dalam usaha meningkatkan keyakinan kepada semua masyarakat terhadap sistem kewangan patuh syariah di negara ini.

“Ketika ini, daripada 600 buah koperasi pembiayaan di bawah naungan Angkasa, 210 buah sudah ada sijil ini dan kita sasarkan bakinya 390 lagi mempunyai Sijil Pematuhan Syariah menjelang 2025.

“Sekarang ini, semua koperasi ini sedang dalam proses rundingan untuk mendapatkan sijil sekali gus dapat meningkatkan keyakinan peminjam yang kita tahu majoritinya terdiri daripada masyarakat beragama Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Bengkel Kesedaran dan Pemerkasaan Pematuhan Syariah 2024 Negeri Melaka di Hotel MITC, Ayer Keroh di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, usaha melengkapkan kesemua 600 koperasi pembiayaan mempunyai sijil berkenaan juga bagi menyokong hasrat kerajaan memastikan ekosistem pembiayaan patuh syariah di negara ini.

“Namun, kita turut berdepan cabaran apabila ada juga sijil yang diiktiraf kerajaan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dipalsukan oleh syarikat-syarikat tidak bertanggungjawab untuk menarik keyakinan pelabur.

“Bagi mengatasi masalah ini, kita sudah tambah baik ciri-ciri keselamatan pada sijil apabila disertakan bersama penggunaan kod QR bagi mengelakkan ia dipalsukan,” katanya.

Tambahnya, sebarang kes pemalsuan sijil berkenaan boleh diadukan kepada Angkasa atau pihak polis bagi mengelak orang ramai terus terpedaya dengan taktik penipuan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast