BUTTERWORTH – Kertas cadangan pembinaan Lebuhraya Bertingkat Juru-Sungai Dua (JSD) yang bakal menyuraikan kesesakan berlaku di negeri ini khususnya di Perai akan dibawa ke mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kertas cadangan itu kini berada pada peringkat kedua iaitu penelitian Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).
“Proses pertama JSD adalah permohonan kerajaan negeri kepada pusat kemudian, kini proses kedua pula, pembentangan bancian pihak PLUS Malaysia Berhad (PLUS) kepada UKAS.
“Berdasarkan rekod, PLUS telah melaksanakan bancian projek tersebut sejak tahun lalu dan ia juga telah dibentangkan kepada UKAS untuk penelitian lanjut.
“Penelitian terperinci perlu dibuat sebelum ia dibawa ke Kabinet untuk kelulusan susulan pembinaan lebuhraya bertingkat sepanjang 15 kilometer itu menelan kos berjumlah RM1.8 bilion,” katanya kepada pemberita pada sidang media, di sini, hari ini.
Terdahulu, Ahmad menghadiri majlis perasmian Seminar Jalan Bandar @ Penang yang disempurnakan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di PICCA Convention Centre, di sini.
Tambah beliau, kelulusan pelaksanaan projek JSD akan dipercepatkan demi kepentingan rakyat selain ia adalah keperluan mendesak.
“Kita turut menjangkakan projek JSD ini akan mengambil masa tiga hingga empat tahun susulan pembinaan yang dicadangkan adalah atas lebuhraya sedia ada.
“Dengan pembinaan JSD ini juga, kita percaya ia bukan memberi manfaat kepada rakyat Pulau Pinang semata-mata malah negeri bersempadan dengannya.
“Sekiranya Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dikenang untuk Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Perdana Menteri maka PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan dikenang bagi projek JSD ini,” katanya.
Media pada April lalu melaporkan, Kon Yeow berharap Kerajaan Persekutuan dapat melaksanakan projek Lebuh Raya Bertingkat Juru-Sungai Dua berikutan keadaan aliran trafik yang semakin mendesak.
Kata beliau, perkara tersebut turut dibangkitkan dalam Taklimat Pembangunan Pulau Pinang yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Komtar sempena lawatan beliau ke negeri ini. – MalaysiaGazette