Peguam Gunamalar bersama anak guamnya, Dr Shamsher Singh.

KUALA LUMPUR – Peguam Dr Shamsher Singh Thind telah menghantar satu surat tuntutan berkaitan tulisannya di Facebook berkaitan syarikat Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti) yang didakwa telah disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) baru-baru ini.

Menurut Gunamalar Joorindanjn, peguam yang mewakili Shamsher, pihaknya telah dimaklumkan satu hantaran oleh Shamsher pada 26 Mei di Facebook ‘Dr Shamsher Singh Thind’ telah mengkritik parti DAP dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Surat tuntutan itu  berhubung isu pemberian kontrak projek rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh kerajaan negeri Selangor kepada syarikat dikaitkan dengan suami Hannah.

“Namun difahamkan pada 3 Jun 2024, anak guam kami telah menerima notis daripada Facebook mengenai hantaran itu yang mengandungi kenyataan seperti berikut.

People in Malaysia won’t see your post. This is because we have received request from MCMC to restrict access to your post for going against local law. We complied with the request after conducting a legal and human rights assessment.

“Kami percaya tindakan diambil oleh Facebook ini telah melanggar kebebasan bercakap dan bersuara yang dijamin oleh Perkara 10 Fasal (1)(a) Perlembagaan Persekutuan. Perlu ingat bahawa Sesyen 3(3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan jelas peruntukkan bahawa tiada apa-apa jua dalam akta ini boleh ditafsir sebagai penapisan internet,” katanya hari ini.

Kata Gunamalar, pihaknya telah diarahkan untuk mencabar tindakan oleh Facebook terhadap anak guam mereka.

Oleh yang demikian, firma tersebut telah memohon penjelasan, maklumat dan pengesahan SKMM, adakah SKMM telah membuat permohonan ‘legal request’ dengan Facebook berhubung tulisan Shamsher sebelum ini.

“Kita juga ingin tahu adakah SKMM telah mendapat arahan atau permintaan daripada Kementerian Komunikasi untuk buat permohonan ini.

“Andai kita tidak terima sebarang penjelasan dalam tempoh dua hari maka kami akan bertindak mengikut lunas undang-undang kerana menganggap legal request telah dibuat tanpa alasan munasabah,” tegasnya.

Sebelum ini media melaporkan SKMM sudah tampil menafikan dakwaan Shamsher bahawa catatan Facebooknya disekat atas arahan Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching kerana keputusan itu dibuat berikutan aduan yang dibuat kepada mereka.

“Dalam satu catatan pada 3 Jun, pemilik akaun Facebook itu memberi gambaran Teo berada di sebalik keputusan menyekat siaran itu. SKMM ingin menegaskan bahawa ini tidak benar,” kata SKMM.

SKMM berkata, ia mengambil tindakan selepas semakan objektif mendapati kandungan siaran Facebook itu mengandungi unsur palsu, mengelirukan dan bertentangan dengan garis panduan komuniti yang ditetapkan oleh Meta, yang mengendalikan laman rangkaian sosial itu.

Selain daripada itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil juga telah memohon supaya Shamsher memohon maaf kepada Timbalannya, Nie Ching kerana membuat dakwaan tersebut. – MalaysiaGazette 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast