Jaclyn Victor bergelar anak seni selama 20 tahun.

KUALA LUMPUR – Impian penyanyi yang terkenal dengan vokal lantangnya, Jaclyn Victor untuk mengadakan konsert secara solo akhirnya akan tercapai pada 12 Oktober ini.

Konsert solo yang itu dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur bakal melengkapkan selama dua dekad mengharungi perjalanan berliku Jaclyn sebagai anak seni.

Juara Malaysian Idol 2004 ini yang nama sebenarnya Jaclyn Joshua Thanaraj Victor berkata, konsert itu sangat bermakna bagi dirinya sebagai penanda aras untuk tempoh 20 tahun dalam industri ini.

“Ini juga masa terbaik untuk saya ‘bagi balik’ kepada semua yang menyokong (kerjaya). Bukan mudah perjalanan untuk kekal relevan dalam industri tanpa sokongan hebat peminat.

“Saya sangat teruja dan mahu buat yang terbaik buat semua peminat yang hadir nanti,” katanya pada sidang media ‘Jaclyn Victor First Solo Concert’ di sini baru-baru ini.

Demi memberi keseluruhan fokus untuk konsert solonya tahun ini, pelantun lagu Gemilang ini terpaksa menolak beberapa tawaran lain untuk mengadakan persembahan.

“Saya memang sudah fikirkan, mahu membuat konsert ini sejak tahun lepas, memandangkan tahun ini genap 20 tahun, dalam industri. Lagipun, saya ada kawan yang mahir dalam bidang ini (penganjuran konsert).

“Saya tolak dengan cara baik (tawaran lain mengadakan konsert). Jika tahun depan dapat (tawaran) saya boleh fikirkan, tahun ini saya fokus untuk ini,” katanya konsert itu akan dijayakan oleh Rag Doll Records dengan kerjasama Banyak Bagus Entertainment dan Awake Production.

Mengenai persediannya, penyanyi tinggi lampai ini mahu memberi fokus kepada keadaan suaranya.

“Saya perlu ada rehat yang cukup, sebab nanti nak menyanyi non-stop (tanpa henti) dalam tempoh panjang, ini penting. Saya juga elak makan ‘benda’ yang tidak perlu. Saya seorang penyanyi dan my voice is a gift (suara saya satu pemberian).

“Untuk pemilihan lagu dan pakaian atau penyanyi jemputan, buat masa ini kita belum finalised (muktamadkan) lagi. Satu kejutan untuk penonton yang hadir nanti,” katanya yang dijangka mendendangkan lebih 25 lagu pada konsert itu nanti. –  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast