KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang, 16 Jun depan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beberapa nama sudah disenarai pendek sebagai calon PRK itu.
Ia bagaimanapun akan diteliti kepimpinan Pas sebelum dikemukakan kepada Majlis Syura parti tersebut.
“Biasanya dua atau tiga nama akan dicadangkan dan parti akan teliti untuk kelayakan sebelum hantar ke Majlis Syura yang akan mengesahkannya.
“Kalau semua nama tu layak, parti akan buat keputusan mana yang terbaik (jadi calon).
“Insya-Allah pengistiharan calon (PN) akan dibuat 16 Jun sebelum penamaan calon 22 Jun dan pelancaran jentera kita buat dalam masa terdekat.
“Pada Selasa ini kita akan ada mesyuarat tertinggi Perikatan Nasional (PN) untuk kita bincang lanjut,” katanya.
Khamis lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 22 Jun dan 2 Julai.
Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff, 56, pada 24 Mei lepas semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya kerana mengalami keradangan dalam perut. – MalaysiaGazette