KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa sedang mengesan pemilik Perodua Axia bernombor pendaftaran VFE 9374 yang melarikan diri daripada unit peronda polis dalam kejadian di Jalan USJ 1 Subang Mewah dekat Subang Jaya, Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.32 petang, anggota yang membuat rondaan terserempak dengan kenderaan terbabit berwarna biru gelap dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, anggota itu telah mengarahkan kenderaan berkenaan supaya berhenti, namun pemandunya telah memecut laju tanpa mempedulikan arahan yang diberi.
“Pengadu (anggota) itu telah mengejar sehingga di kawasan perumahan Jalan USJ 1/1E dan kenderaan tersebut terus memecut laju sehingga gagal dikesan.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara selama tempoh tiga bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Azlan berkata, pihaknya akan terus komited memerangai jenayah sambil menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada selain membantu menyalurkan maklumat kepada polis agar tindakan segera dapat diambil.
Jelasnya usaha mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian itu masih dilakukan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Afiq Mohamad Fesal ditalian 014-3469866 atau mana-mana balai polis berdekatan. – MalaysiaGazette