Penerbit filem 'Mentega Terbang', Tan Meng Khen (kanan) dan juga pengarahnya, Mohd Khairianwar Jailani hadir ke mahkamah untuk didakwa berikutan dakwaan menghina agama Islam ketika di Mahkamah Majistret, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 17 JANUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini hari membenarkan permohonan pengarah dan penerbit filem kontroversi, Mentega Terbang merujuk beberapa soalan undang-undang mengenai tuduhan yang dihadapi kepada Mahkamah Tinggi.

Permohonan kedua-dua pemohon merujuk dua persoalan undang-undang bagi tuduhan melukakan perasaan penganut agama lain ke Mahkamah Tinggi.

Ketika ini, pengarah, Mohd Khairianwar Jailani dan penerbit, Tan Meng Kheng sedang didakwa atas tuduhan itu memohon Mahkamah Tinggi menentukan sama ada Seksyen 298 Kanun Keseksaan melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang melindungi kebebasan bersuara.

Majistret, Noorelynna Hanim Abd Halim ketika membuat keputusan itu setelah meneliti permohonan yang difailkan Mohd Khairianwar dan Meng Kheng selaku pemohon.

“Setelah teliti kedua-dua permohonan secara keseluruhan, mahkamah memutuskan permohonan pemohon adalah bermerit maka ia dibenarkan. Antaranya persoalan yang dikemukakan pemohon iaitu pertama, sama ada Seksyen 298 Kanun Keseksaan melanggar Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan seterusnya terbatal dan tidak berpelembagaan atau tidak.

“Kedua, sama ada frasa melukakan perasaan agama seseorang, iaitu unsur dalam kesalahan seksyen itu, melanggar hak untuk perbicaraan adil kerana tidak sah/tidak jelas atau sebaliknya,” katanya hari ini.

Justeru itu, dua kes yang dihadapi kedua-dua pemohon itu ditangguhkan sehingga persoalan-persoalan yang dirujuk ke Mahkamah Tinggi terlebih dahulu.

Hakim kemudian menetapkan sebutan kes untuk pihak-pihak memaklumkan perkembangan prosiding pada 20 September depan.

Pada 17 Januari lalu, Mohd. Khairianwar dan penerbit filem tersebut, Tan Meng Kheng, 37, didakwa atas pertuduhan melukakan perasaan agama lain menerusi filem tersebut.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya selaku pengarah, penulis skrip serta penerbit filem Mentega Terbang didakwa dengan sengaja berniat melukakan perasaan agama orang lain dengan melafazkan perkataan-perkataan dalam pendengaran orang dan meletakkan objek-objek dalam penglihatan mereka.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Semarak Api 2 di sini pukul 12.34 tengah hari pada 26 Februari 2023.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum setahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast