KUALA LUMPUR – Sebanyak lapan ekor lembu sado disumbangkan oleh Ikhlas.Com Travel & Umrah Sdn Bhd sebagai korban untuk Hari Raya Aidiladha yang akan disambut umat Islam pada Isnin ini.
Ketua Pegawai Pemasarannya, Farah Hasan berkata, kesemua lembu-lembu itu dihantar di tujuh lokasi berasingan dengan salah satu destinasi tersebut iaitu di Rejimen 31 Askar Diraja (RAD) Kem Tun Ibrahim, Kajang.
Katanya, antara yang menarik perhatian adalah seekor lembu daripada baka limosin yang diberi nama Merah seberat 850 kilogram yang akan ditumbangkan di kem tersebut nanti.
Jenis lain lembu yang turut disumbangkan adalah daripada baka Chevrolet seberat 1,500 kilogram (kg) dan lembu-lembu yang dipilih adalah seberat sehingga 1.5 tan.
“Kami menyasarkan seramai 120,000 asnaf daripada seluruh Malaysia akan menerima sumbangan daging-daging korban itu nanti.
“Insyaallah raya pertama hingga ketiga semua akan dikorbankan. Kita ada di Kuala Lumpur di Johor di Terengganu dan harap semua (asnaf) akan dapatlah sumbangan daripada kami ini,” katanya kepada media selepas upacara penyerahan lembu berkenaan di Masjid Ibnu Masud, di sini, hari ini.
Menurut Farah, sumbangan lembu korban itu merupakan hasil kutipan daripada rakyat Malaysia yang menderma ke tabung yang disediakan bagi tujuan tersebut.
Katanya, ini program kali kelima dilakukan oleh pihaknya dalam menyantuni golongan sasaran agar dapat menikmati suasana hari raya korban dengan rasa gembira.
Tambahnya, sebanyak 18 ekor lembu sado telah disumbangkan dan ia bakal menjadi satu program tahunan pada masa-masa akan datang.
Sementara itu, penerima lembu sado, Mejar Azhar Rahim berkata, pihaknya berterima kasih kepada Ikhlas.Com yang telah memberikan sumbangan lembu itu kepada warga kem berkenaan.
“Saya mewakili warga kem Rejimen Askar Melayu Diraja mengucapkan terima kasih keoada Ikhlas.com kerana telah memberi satu penghargaan koeada kami untuk menguruskan lembu korban sado ini.
“Pasukan kami sangat berbangga kerana diantara banyak pasukan di dalam tentera darat pihak Ikhlas.Com telah memilih pasukan 31 RAD untuk melaksana lembu korban ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette